When My Life Story begind
CONTOH SOALAN- Pembangunan Masyarakat (Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur)
Saturday, 20 April 2013 | 16:26 | 0 comments

Sekadar berkongsi dengan apa yang saya dapat dari pelbagai sumber yang lain. 

SOALAN 1:
Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur jelas memperlihatkan pergerakan sosial atau mobiliti sosial watak-watak yang terlibat cerita ini. Ada watak-watak yang mengalami perubahan dari segi kedudukan sosial mereka dalam masyarakat  sama ada secara menaik ataupun secara menurun. Bincangkan.[ 25 markah ]

 
SKEMA JAWAPAN:

Pendahuluan: (3 markah)
·         -Novel SBDKL  banyak menyorot perubahan status sosial watak-watak yang terlibat dan kedudukan mereka dalam kelompok masyarakat. Antaranya watak utama dalam cerita ini iaitu Encik Muhammad Bin Idris, Penghulu Mahmud, Tan Sri Syed Aris, Sudin, Imam Saad, Imam Pekan Tualang, Tuk Empat Dahlan, Sani, Mat Akil, dan sebagainya.
·         -Perubahan status sosial / taraf dalam masyarakat setempat disebabkan perubahan tahap pendidikan yang diperoleh watak-watak yang terlibat, perubahan peranan yang diberikan oleh institusi beraja, kerajaan dan masyarakat, perubahan jawatan dalam sektor perusahaan awam atau swasta, perubahan status dalam masyarakat hasil daripada perubahan kedudukan dalam hubungan kekeluargaan, perubahan status dalam masyarakat hasil daripada kontak sosial sama ada terlibat dalam kegiatan jenayah, kegiatan tidak berakhlak dan sebagainya.
 
Isi-isi Penting: (Mobiliti Sosial Menegak/Menaik)

F1: Encik Muhammad Bin Idris berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok elit usahawan yang berjaya sehingga pencapaian ini menyebabkan dirinya dihormati oleh kaum keluarganya, rakan perniagaan luar dan dalam, dan masyarakat tempat kelahirannya.
HC1: Mobiliti sosial menegak ini adalah hasil usaha gigihnya meningkatkan diri dalam pencapaian akademik sehingga dia berjaya menjadi graduan bidang ekonomi lulusan luar negara.
HC2: Mobiliti sosial menegak ini juga adalah hasil daripada perniagaan yang diceburinya sehingga dia diangkat menjadi pengarah urusan salah satu cabang perniagaan Datuk Tan Enterprise dan syarikat enterprise kepunyaannya sendiri.
HC3: Tahap pendidikan dan pencapaian Encik Muhammad bin Idris dalam bidang perniagaan menyebabkan dirinya dihormati dan diberi penghormatan sebagai satu-satunya anak Orangkaya Indera Datuk Idris bin Muhammad Saman yang berjaya dalam karier sebagai usahawan bumiputera Melayu yang berjaya dan menjadi kebanggaan keluarga Orangkaya Indera Datuk Idris khususnya Penghulu Mahmud abangnya yang sangat mengaguminya, begitu juga dengan masyarakat Pekan Tualang dan Kampung Pulai.
Kesimpulan: Pencapaian Encik Muhammad dalam bidang pendidikan dan perniagaan telah melayakkannya berada dalam kelompok usahawan yang berjaya bukan sahaja dalam kalangan usahawan tempatan bahkan juga dalam kelompok usahawan luar negara. Pencapaian ini membanggakan sahabat karibnya Datuk Tan Chong Seng, Tan Sri Syed Aris, termasuk stafnya Cik Sharifah Mahani, keluarga dan penduduk Pekan Tualang dan Kampung Pulai.

F2: Tan Sri Syed Aris berjaya sebagai usahawan Melayu yang kaya dan berjaya dalam bidang perniagaan. Dia menjadi Pengarah Eksekutif Serba Dagang Internasional. Statusnya dalam masyarakat atau kelompok usahawan sangat tinggi dan dihormati oleh usahawan tempatan dan luar negara. Encik Muhammad Bin Idris sendiri mengagumi pencapaian Tan Sri Syed Aris dan sering mendapatkan tunjuk ajar dan nasihat perniagaan daripadanya.
HC1: Pergerakan statusnya bermula apabila dia dibela oleh Tuan Syeikh Syed Salim Al-Makky. Ibu Tuan Syed Aris iaitu Sharifah Dora merupakan anak angkat kepada Tuan Syeikh Syed Salim (bapa kepada Sharifah Naimah dan Sharifah Muinah). Sewaktu Tuan Syed Aris masih kecil ibunya Sharifah Dora dan bapanya telah meninggal dunia pada masa kekalutan zaman pendudukan Jepun. Tuan Syeikh Salim yang dipanggilnya sebagai walid (bapa dalam bahasa Arab) telah membela, menjaga dan menyekolahkannya.  Dia kemudiannya dihantar belajar keluar negara dan akhirnya berjaya menjadi sebagai seorang usahawan yang berjaya dan memiliki syarikat dagang antarabangsanya sendiri.
HC2: Status sosialnya dalam masyarakat elit (keluarga bangsawan Arab) terus kekal setelah dia berkahwin dengan Sharifah Naimah (kemudiannya meninggal dunia setelah melahirkan Sharifah Mahani) dan kemudiannya berkahwin “ganti tikar” dengan Sharifah Muinah (adik almarhumah Sharifah Naimah) atas kehendak walidnya. 
 
Kesimpulan: Hubungan perkahwinan, pencapaian pendidikan dan pencapaian dalam bidang perniagaan mengangkat taraf Tuan Syed Aris sebagai kelompok Melayu elit yang berjaya dalam masyarakat dan dia turut dihormati oleh rakan perniagaan di dalam dan di luar negara.

F3:  Sudin berjaya menempatkan diri  dalam kelompok elit walaupun pada asalnya dia daripada golongan masyarakat biasa/marhaen (bawahan) tetapi berubah menjadi anak saudara kepada Encik Muhammad bin Idris dan Penghulu Mahmud setelah dia mengahwini Gayah (salah seorang anak kakak Encik Muhammad dan Penghulu Mahmud)
HC1: Hidup Sudin tidak tentu arah dan dia pernah menjadi “tahi judi” dan “kaki botol” tetapi berubah setelah Encik Muhammad Idris bijak menilai bakat dan kemampuan Sudin yang mempunyai latar belakang bisnes kerana pernah menjadi “broker tanah” dan “broker kereta” di Kuala Lumpur.
HC2: Hidup Sudin juga berubah setelah dia berkahwin dengan Gayah apabila dia menjadi orang kepercayaan Encik Muhammad untuk mengatur strategi membeli tanah orang Pekan Tualang dan berusaha memindahkan orang Kampung Pulai ke tanah rancangan FELDA bagi membolehkan mereka mengusahakan Syarikat Lombong Lembah Tualang.
HC3: Sudin juga dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Syarikat Lembah Tualang oleh Encik Muhammad. Syarikat itu bakal melombong bijih timah di sekitar Pekan Tualang dan Kampung Pulai.
Kesimpulan: Jelas bahawa perubahan status akibat hasil perkahwinan Sudin dan Gayah telah mengubah hidup Sudin ke arah kehidupan yang lebih sempurna dan perubahan sosial ini menyebabkan orang Kampung khusus bapanya dan ibunya Imam Saad  dan Mak Minah begitu bangga dengan perkembangan ini. Mat Akil juga mencemburui pencapaian dan taraf Sudin berada dalam kelompok elit dan ini menimbulkan dendam kesumat yang tidak dapat dielakkan lagi.

F4:   Lebai Maarop daripada seorang anak muda yang liar pada zaman mudanya dan mempunyai pendidikan yang agak baik iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berubah menjadi seorang pendakwah dan menjadi imam Surau Kampung Pulai. Dia mengajar kanak-kanak dan orang dewasa mengaji Al-Quran dan pendidikan agama Islam. Dia dihormati oleh masyarakat Kampung Pulai dan menjadi ikon anak muda yang ingin berubah menjadi seorang muslim yang baik.
HC1:  Orang-orang tua dan kaum wanita di Kampung Pulai menghormati dan menyanjung tinggi peranan Lebai Maarop yang berubah menjadi baik setelah dia keluar daripada menuntut ilmu di “pondok “.
HC2: Orang-orang Kg Pulai begitu mendengar pandangan dan pendapatnya yang agar tidak meremehkan pendidikan agama bahkan pendidikan agamalah yang menentukan kebahagiaan   di  dunia dan akhirat. Seruan dakwahnya mendapat reaksi positif dan kerjasama erat  daripada bapa saudaranya Bilal Endut, dan juga Imam Saad dan Tuk Empat Dahlan.
HC3: Pendapatnya yang bernas iaitu mewakafkan sebidang tanah warisan ayahnya di Kampung Pulai merungkaikan kemelut dan pertelagahan antara kelompok sekular (Encik Muhammad) dan kelompok agama (diketuai oleh Lebai Maarop) untuk membangunkan Kampung Pulai untuk diusahakan menjadi perusahaan lombong bijih timah.
Kesimpulan: Perubahan ketara diri Lebai Maarop daripada anak muda yang liar menjadi seorang pendakwah agama merubah dirinya berada dalam kelompok golongan agama yang dihormati oleh masyarakat.




F5: Sani berjaya ditempatkan dalam kelompok golongan Melayu yang berpendapatan sederhana apabila dia  menggantikan tugas Sudin sebelum ini yang bertindak sebagai “runner” dalam urusan perniagaan Encik Muhammad.
HC1: Asalnya dia diheret dengan masalah hutang kerana salah percaturan dalam perniagaan luar negara yang ingin diceburinya. Dia meminta bantuan untuk mencari sumber kewangan “finance” daripada Sudin bagi membantunya menyelesaikan masalah pembiayaan kewangan sebanyak Sembilan ribu yang diperlukannnya untuk mengadakan dagangan dengan syarikat antarabangsa
HC2: Sudin dan Encik Muhammad bijak memerangkap Sani yang memerlukan wang dengan segera. Bagai orang mengantuk dirongkan bantal, peluang ini dihidu dengan baik oleh Sudin dan Encik Muhammad. Mereka mempengaruhi Sani  agar pulang dan menetap di Pekan Tualang sambil mendesak bapanya berhenti dan bersara menjadi imam kerajaan di Pekan Tualang bagi membolehkan Imam Saad. Imam saad mesti dipisahkan daripada Lebai Maarop agar peranan Imam saad menghasut penduduk kampung Pulai untuk menentang projek Encik Muhammad  dapat ditamatkan seberapa segera.
 Kesimpulan: Kedudukan Sani dalam kelompok masyarakat telah berubah menjadi lebih baik dengan menerima jawatan dan gaji yang tetap yang diberikan oleh Encik Muhammad sebagai pekerja di syarikatnya. Kehidupannya tidak lagi sukar seperti sebelum ini ketika mana dia tinggal di Kuala Lumpur menjadi broker tanah dan  broker kereta sama seperti perkerjaan yang pernah dilakukan oleh Sudin.

 
Isi-isi Penting: (Mobiliti Sosial Menurun)

F6: Mat Akil menurunkan darjah penghormatannya di sisi masyarakat apabila terlibat dalam gejala “samseng” / jenayah dengan menikam dan menganiaya Lebai Maarop (membaling batu ke muka Lebai Maarop). Dia dipenjarakan bersama-sama rakannya iaitu Man, Kemat Jerangkung dan yang lain-lain.
HC1: Mat Akil menerima padah dengan kegiatan tidak bermoralnya, mencuri duit tabung ibu saudaranya (isteri Tuk Empat Dahlan), mencemari cadar perkahwinan Sudin dan Gayah dengan najisnya, memukul curi Sudin kerana dendam apabila mendengar khabar Sudin melarikan Gayah, menikam Lebai Maarop dan sebagainya. Dia sendiri telah mencemarkan dirinya sebagai anggota masyarakat yang tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab.
Kesimpulan: Dengan memasuki lokap bermakna Mat Akil bakal disabitkan dengan kesalahan jenayah dan sekiranya dia didapati bersalah dia bakal dipenjarakan untuk tempoh yang panjang dan bakal bergelar banduan. Keadaan ini dengan sendirinya bermakna berlaku perubahan status sosial yang lebih rendah kepada Mat Akil.

F7: Sharifah Mahani menurunkan darjatnya dari segi nasab keturunan sheikh atau sayyid/syed apabila sanggup berkahwin dengan Rahim anak Encik Muhammad yang bukannya berdarah Arab.
HC1: Kebiasaannya untuk mengekalkan gelaran syed atau sharifah kedua-dua pasangan haruslah daripada keturuan Arab yang sama. Namun demikian Rahim bukanlah berketurunan Arab.
HC2: Walaupun dari segi kekayaan dan gelaran pangkat tiada kurangnya kepada kedua-dua pihak iaitu Rahim dan Sharifah Mahani, namun dari segi hubungan nasab/keturunan sudah pasti akan berubah sekiranya mereka menimang cahaya mata kerana mungkin anak yang bakal lahir tidak wajar dikekalkan gelaran “syed” atau “sharifah” sebagaimana status kedua ibu bapanya (Sharifah Naimah & Sharifah Muinah dan bapanya Syed Aris).
Kesimpulan: Jalinan hubungan Sharifah Mahani dengan Rahim jelas bakal menurunkan status sosialnya kerana sekiranya dia berkahwin, status zuriat yang bakal dilahirkan tiada lagi gelaran “syed” dan “sharifah” yang boleh dikekalkan untuk nama/gelaran nasab keturunan anak-anak mereka.
 
Kesimpulan: (2 markah)

·       -  Mobiliti sosial penting untuk mengukur peranan dan penghormatan seseorang watak ketika berada dalam kelompok masyarakatnya.
·     - Mobiliti sosial boleh berubah kea rah yang lebih baik ataupun sebaliknya atau mungkin static sahaja bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh individu/watak dalam kelompok masyarakatnya
·         Mobiliti sosial penting untuk kelangsungan status generasi seterusnya, Sekiranya mobiliti sosial akan menurun angkara generasi awal, sudah tentu hal ini memberikan kesan yang tidak baik kepada generasi yang ditinggalkan. Barangkali generasi yang ditinggalkan akan menerima penghinaan, kejian dan layanan yang kurang baik sehingga menjejaskan kehidupan rutin mereka.


Labels:


Older Post | Newer Post


Song


Meet The Boss




Say Your Word


My Acc & Stalker

'Nur Farah Izzati

Create Your Badge